Kesan 3M

Apakah 3M itu? Lupakah kita dulu-dulu di zaman Tun Dr Mahathir menerajui kepimpinan negara beliau pernah melancarkan satu kempen yang diberi nama 3M iaitu Mendengar, Menulis dan Membaca. Kejayaan daripada kempen itu sehingga ke hari ini amatlah jelas sekali. Ramai juga golongan tua yang buta huruf pada asalnya telah berjaya digarab melalui konsep mendengar sehingga pandai menulis dan membaca.

Generasi rakyat yang lahir daripada kesinambungan pentadbiran Tun dulu adalah golongan yang lebih peka dan prihatin terhadap apa jua perkembangan semasa. Boleh dibanggakan kerana penerapan nilai-nilai 3M itu telah banyak memberi kesan yang positif kepada majoriti rakyat berbilang kaum pada hari ini. Maka tidaklah sia-sia kempen itu dilancarkan dahulu. Itulah pemimpin yang layak dimartabatkan sebagai pemimpin “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang” sebenarnya kerana Tun berpandangan jauh di dalam apa jua usaha-usahanya. Tiada yang tidak berjaya dilakukan Tun malahan semuanya menepati kejayaan.

Bunyinya begitu mudah 3M sahaja, seolah-olah tiada membawa apa-apa makna pun tetapi kesannya amatlah hebat sekali. Hasilnya hari ini rakyat berbilang kaum tidak kira apa jantina, bangsa dan agama, baik tua mahupun muda semuanya peka terhadap segala perkara dan tidak mudah diperbodoh-bodohkan atau diperdaya oleh pemimpin pemusnah. Cerdik pandai kian melata di bumi Malaysia pada hari ini dan sebab itulah rakyat bangkit memberi satu pengajaran dan tamparan yang cukup hebat kepada kerajaan pimpinan DS Abdullah pada PRU12 yang lalu.

Apakah isyarat pengajaran pada 8 Mac 2008 itu masih tetap tidak mahu diendahkan oleh DS Abdullah serta barisan kepimpinannya sehingga ke saat ini? Jika begitulah hajat di hati DS Abdullah untuk terus berdegil dan masih berangan-angan untuk terus bertakhta maka tidaklah salah untuk rakyat melabelkan beliau sebagai pemimpin yang tamak haloba dan gila kuasa yang hanya tahu Mengaut untung, Menipu rakyat dan Merompak harta negara. Itulah agaknya istilah 3M di sudut penjenamaan semula dan pandangan DS Abdullah. Selain daripada itu beliau juga seorang pemimpin yang Malas, selalu Mengantuk dan suka Mimpi di siang hari kerana masih menganggap rakyat terus menyokongnya walhal sangkaan beliau itu jauh meleset.

Kalau dibandingkan DS Abdullah dengan Tun Dr Mahathir amatlah jauh “panggang dengan api” atau bagaikan “langit dengan bumi” perbezaannya. Jika Mahathir Memajukan Malaysia Abdullah pula Makhluk Memusnahkan Malaysia.

Oleh itu DS Abdullah haruslah sedar diri bagaimana beliau dapat bertapak di jawatan PM jika tidak diberi laluan oleh Tun Dr Mahathir. Dari sudut kewibawaan dan kecemerlangan langsung tiada pada DS Abdullah cuma takdir sahaja yang menyebelahi beliau. Maka itu apabila sudah diberi rasa dan nikmat, berpada-padalah jangan sampai mengundang seluruh rakyat bangkit bertindak secara kekerasan. Jangan sekali-kali lupa rakyat Malaysia semakin hari semakin cerdik dan tidak kurang pula yang semakin berani. Kini DS Abdullah bagaikan cacing kepanasan kerana adanya Mukhriz Mewarisi Mahathir yang terus mendesak supaya beliau segera berundur meskipun Mukhriz telah beberapa kali diancam dengan pelbagai tindakan namun anakanda Tun itu tetap tabah dan tenang menghadapi apa jua kemungkinan sepertimana ayahandanya juga.

Sebelumnya Mokhzani didesak meninggalkan SIC, Mukhriz diancam tindakan oleh parti dan Mahathir diserang dengan pelbagai isu-isu lapuk dan fitnah, nampaknya satu pun masih belum lut lagi. Andaikata DS Abdullah dan barisannya terus ego mahu berusaha menunjuk jaguh terhadap 3M anak-beranak ini nescaya buruklah padahnya. Abdullah harus mengukur baju di badan sendiri. Sekali penangan Tun Dr Mahathir, singgahnya bagaikan petir. Berhati-hatilah!

ABDULLAH HARUS INGAT ASAL-USUL DIRI DAN KEMBALI KE PANGKAL JALAN.

Post a Comment