Salam pengenalan semua sahabat bloggers!
Saya tidak lama didalam penulisan blog ini dan tidak juga terlalu baru. Sebelum ini blog politik telah diwujudkan hanya sebagai pemerhati dan penyokong setia Umno di sebalik tabir sahaja namun atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan saya padamkan dahulu blog yang terawal itu demi tidak mahu membiarkannya terbengkalai tanpa pemantauan.
Penulisan terbaru telah bermula pada 8 Mac 2008 yang lalu, pada hari pengundian Pilihanraya Umum ke-12 tetapi tidak disiarkan secara terbuka kepada umum, hanya sekadar untuk tatapan rakan terdekat dan sahabat taulan sahaja. Sungguhpun begitu agak ramai juga sambutan, hampir 300 pelawat yang telah mengunjunginya. Di sini saya mengambil kesempatan sekali lagi untuk mengadaptasikan semula tulisan-tulisan tersebut secara berperingkat mengikut kesesuaian dan perkembangan semasa.
Kini saya terpanggil untuk kembali aktif ke dunia blogging secara berterusan dengan lebih proaktif setelah kejutan demi kejutan melanda Umno/BN dewasa ini, dengan nawaitu murni untuk berbincang secara lebih serius dan berkongsi idea dengan semua sahabat-sahabat bloggers khususnya golongan muda-mudi bagi mendapatkan pandangan dan berhasrat membentuk sebuah komuniti barisan pemuda-pemudi sebagai pelapis baru dan juga menjadi kesinambungan kepada perjuangan parti demi menyokong penuh pembaharuan yang hendak dilaksanakan oleh sebahagian besar pucuk kepimpinan Pemuda di peringkat tertinggi.
Jika YB Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo kini telah mula menyedari akan kepentingan peranan dunia blogging sejak 28 Mac 2008 yang lalu, apatah lagi kita yang sememangnya terlebih awal daripada beliau. Biarlah kita sama-sama bermula daripada seseorang yang tidak dikenali untuk memartabatkan perjuangan Umno. Yang penting kita perlu bermuafakat dan bersatupadu di dalam mengembalikan keyakinan ramai bahawa Umno masih tetap relevan untuk menjadi wadah perjuangan bangsa melayu sejak tradisi lagi. Umno telah tercalar disebabkan segelintir pemimpin yang lemah kewibawaannya dan parti tidak harus kita hukum. Kita wajib bangkit memperbetulkan struktur organisasi secara keseluruhannya.
Marilah kita sama-sama dari bawah dan di akar umbi untuk turut menyahut seruan ini dan marilah kita turut bergabung tenaga mewujudkan sebuah komuniti baru yang lebih segar atau “fresh” di dalam memperteguhkan kedudukan parti demi mengharungi segala ranjau duri perjuangan yang hampir lumpuh kebelakangan ini. Pembaharuan adalah amat perlu dilakukan segera di akar umbi bermula dari cawangan dan bahagian. Saya memfokuskan khusus untuk Bahagian Ampang, Selangor. Saya percaya, bloggers daripada P99-Ampang adalah juga sebahagian besar yang bergiat aktif di arena blogging. Bertapaklah kita seteguh-teguhnya untuk mencengkam erat di bumi nyata bagi menyokong pucuk kepimpinan yang hendak dijulang. Jika lemah di akar umbi maka lemah jua lah apa yang kita julangkan. Oleh itu bersamalah kita mengadakan reformasi di dalam Umno.
Saya menyeru golongan muda-mudi untuk bersama-sama mengemaskini perjuangan di akar umbi. Kepada saudara-saudari yang benar-benar cintakan perjuangan Umno untuk membela hak agama, bangsa dan tanahair, agar bersedialah tampil ke hadapan dengan penuh keyakinan secara sukarela atas dasar tanggungjawab yang benar-benar dedikasi bagi membincangkan soal isu-isu pokok di dalam pembentukan sebuah komuniti baru dengan mewujudkan cawangan baru di Ampang. Saya merasakan cadangan ini satu keperluan dengan apa yang telah berlaku.
Setahun yang lalu saya pernah diajak bagi tujuan tersebut oleh beberapa veteran Umno tetapi tidak kesampaian. Hari ini saya amat berharap ianya mampu diwujudkan dan menjadi kenyataan. Jiwa raga saya benar-benar bangkit dan terpanggil dengan apa yang telah berlaku dan amat tidak selesa untuk hanya duduk berdiam diri tanpa bertindak sesuatu untuk menabur bakti. Marilah kita berunding dengan penuh hemah, di manakah cawangan baru yang lebih sesuai untuk kita tubuhkan agar mampu menjadikannya satu tapak segar dan wadah perjuangan yang lebih berwawasan.
Saya berani mengatakan keadaan pengurusan di Ampang kini agak kritikal sejak sepenggal yang lalu lagi di mana Wakil Rakyat yang disokong pada PRU11 telah gagal memberi khidmat yang baik dan amat sukar untuk meluangkan masa bersama rakyat setempat ketika diperlukan. Kelemahan-kelemahan inilah juga menjadi ukuran dan punca penyumbang kemenangan yang berpihak kepada parti lawan pada PRU12 baru-baru ini walaupun pada PRU12 telah menampilkan calon P99-Ampang dengan muka baru yang dibawa dari DUN Bukit Antarabangsa. Konflik dalaman yang kurang berpuashati terhadap calon telah memberikan kelebihan bonus untuk membawa kemenangan kepada PKR di Parlimen Ampang. Bak kata mantan Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ahli-ahli Umno sendiri telah bersubahat memberikan undi percuma yang mendorong kemenangan kepada pihak lawan di kebanyakan kawasan di mana kita telah tewas teruk.
Saya yakin dan percaya kenyataan saya ini tidak mungkin disangkal oleh bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, YB Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang kini merupakan Ketua Pembangkang di Selangor. Insyallah semoga ketelusan dan ketulusan perjuangan kita yang bermula di saat ini dapat digarab daripada sekarang agar mampu mengubah segala-galanya untuk masa hadapan yang lebih cemerlang dan ini merupakan satu permulaan yang baik dan positif ke arah persiapan yang lebih mantap.
Saya berbesar hati jika sekiranya ada di kalangan saudara-saudari bloggers golongan muda yang berkesungguhan dan ikhlas mahu menyokong dan menganggotai pembentukan komuniti baru ini di mana-mana cawangan yang akan ditubuhkan di Ampang, bolehlah melahirkan rasa minat anda melalui komen di blog ini. Saya akan menilai sejauh mana sambutan dan minat yang ditunjukkan secara keseluruhannya di dalam tempoh tertentu dan akan disusuli dengan sebuah laman pendaftaran ahli komuniti sebagai langkah awal.
Saudara-saudari juga bebas di dalam memberikan sebarang buah fikiran yang bernas untuk kita bincangkan bersama dengan penuh kesopanan ke arah matlamat tersebut. Apa yang penting saya mengharapkan sebuah komuniti yang benar-benar berkualiti dan aktif di dalam perjuangan dan mampu diteladani oleh cawangan-cawangan lama yang sedia-ada. Rangka kerja serta aktiviti telah siap digariskan, hanya menunggu keanggotaan yang mencukupi sahaja sebelum mampu untuk dilaksanakan. Apa pun perkara ini akan saya minta pandangan peribadi veteran-veteran Umno yang berpengalaman tanpa membelakangi garis panduan serta kehendak di peringkat pentadbiran negeri dan pusat. Sekian semoga mendapat sedikit maklumbalas dari semua.